Ada Udang Di Sebalik Batu

 Ada Udang Di Sebalik Batu

Hendaklah kasih itu jangan pura-pura! Jauhilah yang jahat dan lakukanlah yang baik. Roma 12:9

Rujuk : Markus 12:38-40

Dalam Matius 5:13-16, Yesus dengan tegas mengatakan bahawa setiap orang percaya adalah terang dan garam dunia. Apa yang terjadi jika kehidupan umat percaya tidak dapat menjadi saksi Kristus dan berkat bagi orang lain? Allah akan membuang orang tersebut. Inilah gambaran Yesus tentang para ahli Taurat.

Ahli-ahli Taurat termasuk salah satu kelompok agamawan yang dihormati oleh orang ramai. Tugas mereka adalah memelihara dan mengajarkan hukum Allah. Kenyataannya, status yang disandang oleh mereka jauh dari kehidupan rohani yang berkenan kepada Allah. Perilaku para ahli Taurat penuh dengan tipu muslihat dan kemunafikan.

Jubah panjang yang dipakai mereka hanyalah topeng rohani agar mereka mendapat penghormatan di mata masyarakat. Hal ini kelihatan ketika mereka suka duduk di depan rumah ibadah agar dilihat orang ramai bahawa kehidupan mereka hanya berpusat kepada Allah. Dalam perjamuan, mereka mengambil posisi duduk paling depan seolah-olah mereka adalah orang yang antusias dalam menyembah Allah. Di depan umum, mereka berjalan seperti orang saleh agar masyarakat berfikir bahawa dirinya sebagai orang yang bijaksana (38-39).

Sering kali para ahli Taurat memanfaatkan jubah agama untuk memperdaya rakyat jelata. Salah satu kelompok yang terkena jerat mereka adalah para janda. Mereka terbiasa memanipulasi ucapan rohani untuk mendapatkan tumpangan dan keperluan sehari-hari. Dengan doa-doa yang panjang, mereka menipu masyarakat kelas bawah bahawa doanya paling berkenan kepada Allah (40a).

Melihat perbuatan mereka yang menjijikkan, Yesus mengecam bahawa apa yang mereka tabur akan dituai. Bukan perkenanan Allah yang didapatkan, melainkan murka Allah (40b). Sebab ahli-ahli Taurat telah menggunakan nama Allah dengan sia-sia demi keuntungan peribadi semat-mata. 

Kita dipanggil menjadi surat Kristus (saksi-saksi) yang terbuka agar nama Allah dapat dipermuliakan. Hendaklah kasih itu jangan pura-pura! Jauhilah yang jahat dan lakukanlah yang baik. Roma 12:9